MBBS

MBBS

20160222

‘Tak bayar, rumah boleh kena sita’



‘Tak bayar, rumah boleh kena sita’
20 Februari 2016


SEREMBAN - Sudahlah menderita kerana penyakit hipertiroid peringkat kedua dihadapinya, seorang ibu tunggal semakin tertekan apabila tidak mampu membayar sewa rumah tertunggak sejak enam bulan lalu.

Siti Fatimah Mohd Yusof, 28, yang tinggal di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu Senawang, Taman Jasmin, di sini, tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM868 kerana sudah lama tidak bekerja.

Akibat kegagalan dia menjelaskan tunggakan itu, katanya, rumah disewa itu akan disita sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh sebulan lagi.

Bagaimanapun, katanya, sejak disahkan mengalami penyakit hipertiroid pada tahun lalu, emosinya kurang stabil sehingga menyebabkan dia sukar untuk keluar bekerja, selain memikirkan urusan persekolahan anak perempuannya, Noorsafiya Raila Mohd Aris, berusia 11 tahun.

“Dulu saya pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan, tetapi tak kekal lama sebab sakit yang saya alami itu membuatkan emosi saya selalu terganggu. Kadang kala denyutan jantung saya berdegup laju, membuatkan saya menjadi bimbang dan tak dapat kawal emosi, selain terlalu memikirkan urusan harian dan persekolahan anak.

“Tetapi sekarang bila sudah tidak bekerja, banyak benda yang tertunggak, termasuklah bil air dan elektrik," katanya kepada Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Siti Fatimah berkata, kerana mahu berjimat, dia terpaksa menyekat pembelian keperluan hariannya dengan membeli barangan penting saja, selain banyak dibantu ahli keluarga yang simpati dengan nasibnya dua beranak.

Sementara itu, nasib Siti Fatimah mendapat perhatian Persatuan Pembangunan Masyarakat Malaysia (PPMM) yang mengadakan lawatan ke rumah keluarga terbabit.

Pengerusi PPMM, Mohd Aryan Khailash Arumugam berkata, pihaknya dimaklumkan setiap empat bulan sekali, Baitulmal akan memberi bantuan keperluan dapur kepada keluarga berkenaan.

“Kita juga telah berbincang dengan pihak sekolah agar memberi bantuan makanan percuma kepada Noorsafiya, melalui program Rancangan Makanan Tambah (RMT) untuk pelajar miskin.

“Selain itu juga, guru kelas Noorsafiya sendiri akan mengeluarkan perbelanjaan bayaran pengangkutan bagi membantunya ke sekolah kerana sebelum ini dia terpaksa berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer setiap hari," katanya.